Sepanjang tahun 2017, kita menyaksikan pelbagai peristiwa yang berlaku di dalam dunia hiburan tempatan.  Tentu sekali gosip serta kontroversi artis tempatan antara yang menjadi buah mulut netizen.

Sebagai portal hiburan, kami di BeautifulNara tidak pernah ketinggalan untuk memaparkan setiap kontroversi hangat artis tempatan.

Jom kita recap kembali 8 kontroversi artis paling hangat dan mendapat perhatian ramai sepanjang tahun 2017 dengan membaca entri ini sepenuhnya.

FATTAH AMIN TIBA-TIBA HILANG DI SET MELETOP

Tindakan Fattah Amin yang membatalkan kemunculan beliau di rancangan hiburan MeleTOP mengundang kecaman netizen meskipun beliau sebenarnya sudah bersiap sedia di belakang pentas program tersebut.

Ada yang menganggap Fattah takut untuk bersemuka dengan bekas kekasihnya Neelofa yang merupakan pengacara rancangan tersebut.  Sehingga hari ini Fattah tidak memberikan sebarang komen dan menjelaskan perkara sebenar disebalik “kehilangannya” itu meskipun netizen meminta beliau berbuat demikian.

HAFIZ HAMIDUN & JOY REVFA BERCERAI

Perkahwinan penyanyi Hafiz Hamidun dan Joy Revfa mencetuskan pelbagai konflik apabila mereka tidak tinggal sebumbung hanya selepas 6 hari bernikah kerana Hafiz meragui status perkahwinan mereka. Hafiz mendakwa Joy belum sah bercerai dengan bekas suaminya.

Joy pula mengatakan beliau teraniaya dan mendedahkan beliau dan Hafiz sudah menjalinkan hubungan suami isteri. Walaubagaimanapun, pasangan ini akhirnya sah bercerai talak satu pada 25 Oktober lalu. Mahkamah memerintahkan Joy tidak perlu menjalani tempoh edah kerana beliau dan Hafiz tidak pernah mengadakan hubungan kelamin.

IZREEN AZMINDA BERKAHWIN DENGAN SUAMI ORANG

Izreen Azminda dilabelkan sebagai perampas suami orang apabila mengakui sudah bernikah secara rahsia dengan seorang pemuzik bernama Ude Wahid pada 8 Ogos lalu tanpa pengetahuan isteri pertama lelaki tersebut iaitu Intan Liana.

Menerusi satu kenyataan media, Izreen menjelaskan  beliau tidak mempunyai sebarang niat untuk melukakan hati wanita lain dan  memberitahu beliau bukan perampas kerana  tidak meruntuhkan masjid yang dibina oleh Ude dan Intan.

FATHIA LATIFF MENARI SEKSI DI BIGO LIVE

Fathia Latiff mengakui beliau adalah artis yang tampil seksi dan menari di dalam video Bigo Live yang dirakam oleh pelakon Natasha Elyzza dan dipertontonkan kepada umum. Video tersebut bukan sahaja tular di media sosial tetapi aksi Fathia mendapat kecaman daripada netizen kerana ia menampakkan auratnya sedangkan beliau kini sudah berhijab.

Dikecam teruk, Fathia tampil memohon maaf dan berasa malu dengan apa yang telah berlaku. Fathia akui beliau hanya berseronok dengan rakan-rakannya dan tidak sedar aksi mereka itu dirakam.

KES SAMAN NORA DANISH & FASHA SANDHA

Kontroversi panas antara dua orang artis jelita ini cukup menggemparkan peminat industri hiburan tempatan. Semuanya berlaku apabila Fasha  dalam satu status di Instagram mendakwa dirinya “dihalau” daripada sebuah majlis fesyen gara-gara seorang artis wanita yang turut bekerjasama dalam acara terbabit.

Ada pihak mengatakan artis tersebut ingin tarik diri sekiranya Fasha tetap hadir ke majlis berkenaan. Berita itu terus tular dan netizen menuduh artis wanita yang dimaksudkan ialah Nora Danish. Kecewa dengan pelbagai tuduhan dilemparkan, Nora mengambil tindakan untuk menyaman Fasha gara-gara statusnya di media sosial yang didakwa mencetuskan salah faham.

ALIFF AZIZ & AFIFAH NASIR KARAOKE

Penyanyi Aliff Aziz mengejutkan orang ramai apabila ditahan oleh pihak polis atas tuduhan mencederakan isterinya, Bella Astillah yang ketika itu sedang dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak sulung mereka.  Insiden itu berlaku selepas Bella berjaya “menangkap” Aliff dan Afifah Nasir mesra berdua-duaan di sebuah pusat karaoke.

Kini Aliff sudah menyesali perbuatannya itu dan berjanji tidak akan mengulangi perkara yang sama selepas Bella memberikan beliau peluang kedua. Bella juga sudah enggan mengenangkan luka lalu dan ingin membuka lembaran baru bersama suaminya.

SHAHIR AF 8 DIDAKWA BERCINTA DENGAN MONA

Ketika sudah kembali popular selepas menyertai pertandingan AF Megastar 2017, penyanyi Shahir terpalit dengan kontroversi apabila didakwa sedang bercinta dengan seorang pramugari Firefly, Mona Syamimi Samsudin. Tentu sekali ia mencetuskan pelbagai spekulasi kerana umum mengetahui Shahir sedang menjalinkan hubungan dengan Erra Fazira.

Shahir menafikan gosip percintaan tersebut tetapi Mona mengatakan beliau mempunyai bukti mereka sedang rapat dan sememangnya bercinta. Walaubagaimanapun, kini Mona tidak mahu lagi dikaitkan dengan Shahir. Malah, Shahir juga sudah kembali menyepi daripada industri hiburan tempatan tanpa sebarang khabar.

KES BOY IMAN TIPU PROJEK PEMBINAAN RUMAH MAMPU MILIK

Datuk Boy Iman ditahan reman lima kali oleh pihak polis selepas 210 orang melaporkan beliau menipu dalam projek perumahan mini banglo bernilai RM6.2 juta yang dibangunkan oleh Juta Kelulut Sdn Bhd dan dipasarkan oleh DBI Technology Sdn Bhd gagal disiapkan setelah bayaran dibuat.

Boy akhirnya dibebaskan selepas Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Seberang Perai menolak tempoh lanjutan reman yang dibuat oleh pihak polis. Netizen cukup kecewa dengan keputusan pembebasan tersebut dan sehingga hari ini isu tersebut belum lagi mempunyai sebarang berita lanjut. Boy mendakwa dirinya menjadi mangsa sabotaj kerana ada yang iri hati dengan kejayaan beliau.

Sumber – Beautifulnara.my